Sarawak sasarkan ternakan ruminan sehingga 158,750 ekor pada 2030

KUCHING: Kadar sara diri Sarawak bagi daging lembu, kerbau, kambing dan bebiri disasarkan ditingkatkan sehingga 25 peratus pada 2030.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, kementerian itu menetapkan sasaran terbabit dalam Strategi Pembangunan Pasca Covid 2030 (PCDS 2030).

“Untuk mencapai sasaran ini, populasi ternakan ruminan perlu dipertingkatkan kepada 158,750 ekor terdiri daripada 60,000 ekor lembu, 20,000 ekor kerbau dan 78,750 ekor kambing dan bebiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Miro Simuh (GPS- Serembu) di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.

Dr Rundi berkata, kementerian terbabit diperuntukkan sebanyak RM40 juta dalam Rancangan Malaysia Ke- 12 untuk melaksanakan pelbagai program
ternakan ruminan dalam PCDS 2030.

Menurutnya, populasi ternakan ruminan pada setakat tahun ini dalam lingkungan 35,000 ekor berbanding 32,000 ekor pada tahun 2023 iaitu peningkatan sebanyak 3,000 ekor.

“Ini memberikan dorongan kepada kementerian saya untuk memantapkan usaha membangunkan industri ternakan ruminan,” tambahnya.

Dr Rundi berkata, ini termasuk menggalakkan penyertaan swasta bagi penternakan ruminan berskala komersial dan moden.