55 lesen buru buaya dikeluar

KUCHING: Kerajaan Sarawak amat prihatin dalam usaha mengurangkan risiko serangan buaya yang kini dianggarkan lebih kurang 25,000 ekor dalam 22 lembangan sungai di Sarawak.

Timbalan Premier Sarawak yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, setakat ini sebanyak 55 lesen memburu buaya telah dikeluarkan dan sebanyak 234 papan tanda amaran telah dipasang di kawasan berisiko tinggi di seluruh Sarawak.

“Dalam tempoh Januari hingga Oktober 2024, sebanyak 40 operasi pemantauan telah dilaksanakan oleh SFC dan hasilnya 35 ekor buaya berjaya dipindahkan dari kawasan berhampiran penduduk ke tempat yang bersesuaian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan bagi kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.

Awang Tengah berkata, Kerajaan Sarawak melalui SFC juga sedang menyediakan pelan pengurusan buaya yang lebih komprehensif dengan penglibatan pakar antarabangsa melalui Memorandum Perjanjian (MoA) antara SFC dan Wildlife Management International Pty Ltd (WMI) di Darwin, Australia.

“WMI akan membantu dalam penggubalan pelan pengurusan buaya dan memberi latihan kepada pegawai SFC bagi meningkatkan pengurusan buaya di Sarawak,” tambahnya.

Katanya, penyediaan pelan ini akan mengambil masa selama satu tahun dan laporan awal akan dikemukakan pada Disember 2024 bagi memberi gambaran tentang langkah-langkah yang perlu diambil.

Di samping itu, Awang Tengah berkata Penyediaan “Peraturan Buaya” telahpun dirangka dan kini dalam peringkat semakan akhir sebelum dikemukakan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk kelulusan.