KUCHING: Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak masih memerlukan dana sebanyak RM2.896 bilion untuk melaksanakan pengambilan balik tanah bagi 792 projek.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, dana yang diperlukan adalah sebanyak RM2.204 bilion bagi 667 projek Kerajaan Sarawak dan RM691.92 juta bagi 125 projek Kerajaan Persekutuan.
“Komitmen Kerajaan dalam menyelesaikan pengambilan balik tanah dalam tempoh enam bulan adalah bergantung kepada penyaluran dan ketersediaan peruntukan dana daripada agensi pelaksana,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menggulung perbahasan bagi kementeriannya semasa sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.
Awang Tengah yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar dan berkata, antara projek mega yang telah dan sedang dilaksanakan yang melibatkan pengambilan balik tanah ialah Second Trunk Road/Coastal Highway, Sarawak Sabah Link Road (SSLR).
“Trans Borneo dan Northern Coastal Highway (NCH), menara telekomunikasi dan Sarawak Energy Berhad (SEB) transmission line,” ujarnya.
Katanya, projek-projek ini bertujuan menyediakan prasarana rangkaian infrastruktur lebuhraya dan telekomunikasi secara lebih terancang, sistematik dan efisien demi meningkatkan kesalinghubungan di antara kawasan bandar dan luar bandar di Sarawak.
