Stok bantuan bencana Monsun Timur Laut ini sudah disedia

KUCHING: Kerajaan telah menyediakan stok bantuan bencana kepada mangsa sebagai persediaan menghadapi Monsun Timur Laut 2024/2025 di Sarawak.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, stok terbabit disedia di Depoh Simpanan Keperluan Bencana Samarahan, Mini Depoh di Miri dan Lawas, 16 stor bantuan bencana di Pejabat Kebajikan Bahagian dan Daerah, serta 31 Pangkalan Hadapan Bencana.

“Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKM) juga telah menjalankan latih amal dan simulasi bencana di Bahagian Serian, Sri Aman, Samarahan, Kuching, dan Bintulu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan bagi kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.

Fatimah berkata, latihan terbabit dijalankan dengan kerjasama agensi di bawah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian dan Daerah.

Beliau mendedahkan, seramai 55,684 orang menerima pelbagai jenis bantuan kewangan kebajikan di Sarawak sehingga 31 Oktober 2024 melibatkan peruntukan sebanyak RM215 juta.

Katanya, dari Januari hingga Oktober 2024, JKMS telah menyalurkan RM7.3 juta bantuan bencana kepada 153,981 mangsa.

“Bantuan tertinggi adalah bekalan air bersih sewaktu kemarau iaitu RM3.8 juta untuk 117,633 mangsa,” tambahnya.

Selain itu, sejumlah RM4.5 juta dibelanjakan bagi memberi manfaat kepada 110 pesakit di bawah Skim Bantuan Alat Tiruan/Sokongan; 184 pesakit di bawah Skim Bantuan Pesakit Buah Pinggang (BPBP) dan 52 pesakit di bawah Skim Bantuan Perubatan.