Pelan tindakan lestari Sarawak inisiatif tangani isu global

KUCHING: Pelan Tindakan Lestari Sarawak menjadi kerangka dalam Sarawak menangani isu global selain mengekalkan kelestarian alam sekitar dan ekonominya.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, pelan tindakan ini mempunyai 10 teras strategik yang mengguna pakai pendekatan bersepadu ke arah masa depan yang dapat menangani daya tahan iklim dan matlamat kemampanan.

Katanya, inisiatif ini diambil berikutan isu global seperti keterjaminan makanan dan perubahan iklim yang semakin ketara di negara jiran malah di negara-negara luar yang lain.

Mengambil contoh di Vietnam katanya, negara berkenaan berkemungkinan tidak dapat mengeksport beras ke Malaysia disebabkan bencana banjir.

“Jika Vietnam mengalami banjir akibat kesan daripada perubahan iklim, maka Vietnam tidak dapat mengeksport beras dan apabila Vietnam tidak dapat mengeksport beras, akan berlaku kekurangan bekalan beras di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Persidangan RAM: Majukan Masa Depan Lestari – Fokus Kepada Sarawak di sini hari ini.

Abang Johari berkongsi inisiatif Sarawak yang memperkenalkan dasar dan tindakan selanjutnya bagi wilayah ini menghadapi masalah-masalah seumpama itu.

Dalam majlis tersebut, Premier Sarawak sekali lagi mendapat pengiktirafan apabila dianugerahkan ‘Sustainability Steward of the Year’ daripada RAM Holdings Berhad atas usaha dan inisiatif beliau mentransformasikan Sarawak ke arah ekonomi hijau dan mampan.

Sementara itu, Sarawak Oil Palms menerima Anugerah Kemampanan RAM bagi kategori perak manakala Press Metal dan Sarawak Energy Berhad (SEB) masing-masing menerima anugerah yang sama bagi kategori platinum.

Hadir sama, Pengerusi Bank Pembangunan Bank Sarawak (DBOS) Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Dato Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SEB Datuk Sharbini Suhaili dan Pengerusi RAM Holdings Berhad Datuk Kamaruddin Taib.