KUCHING: Jumlah pengeluaran padi di Sarawak pada 2023 ialah 32 peratus daripada keperluan beras di negeri ini, kata Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom.
Beliau berkata, bagi menampung keperluan beras itu, Sarawak mengimport kira-kira 153,000 tan beras bernilai RM401 juta.
“Untuk sembilan bulan pertama tahun 2024, Sarawak mengimport 152,560 tan beras bernilai RM446 juta berbanding 99,005 tan bernilai RM245 juta dalam tempoh sama 2023,” katanya semasa menggulung perbahasan bagi kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini.
Beliau berkata, setakat September 2024, jumlah pengeluaran padi di Sarawak dianggarkan 83,700 tan dengan sasaran pengeluaran 84,500 tan menjelang akhir tahun ini.
Untuk mengelak kekurangan cukup sara diri beras, katanya, Kerajaan Sarawak komited memodenkan kaedah penanaman padi dengan membangunkan infrastruktur ke tahap terbaik di kawasan sawah padi baharu dan sedia ada.
Beliau menzahirkan penghargaan kepada Premier Sarawak kerana meluluskan peruntukan RM1 bilion untuk Program Pembangunan Infrastruktur Padi di negeri ini.
Setakat ini, katanya, terdapat tiga syarikat swasta yang berminat untuk mengusahakan tanaman padi hibrid dan tiga kawasan telah dikenal pasti untuk tanaman padi hibrid itu ialah di Lubok Punggor dan Lubok Teranggas di Samarahan, Spaoh di Betong dan Meradong di Sarikei.
Syarikat swasta yang bernimat dalam penanaman padi hibrid itu perlu mematuhi prosedur dan peraturan ditetapkan oleh Jabatan Pertanian Sarawak, katanya.
Peraturan itu termasuk prosedur membawa masuk benih bagi menjamin jenis padi hibrid ditanam di kawasan ditetapkan dan berasingan untuk mengelak kesalingan pendebungaan antara padi hibrid dengan tempatan, katanya.
Beliau berkata, pencapaian hasil padi hibrid pertama yang ditanam di Meradong adalah lebih satu tan sehektar.
Percubaan kedua bermula pada September 2024 dan dijangka dituai pada Disember 2024, katanya.
Beliau menambah, pertumbuhan dan hasil tanaman padi hibrid itu dipantau rapi Jabatan Pertanian Sarawak dan hasilnya hanya dapat diketahui selepas tiga musim tanaman.
Beliau turut berterima kasih kepada Kerajaan Sarawak kerana memperuntukkan RM181 juta dalam Bajet 2025 untuk membangunkan sektor pertanian.
Jumlah itu, katanya, meningkat sebanyak RM33 juta atau 22.3 peratus berbanding peruntukan diterima pada 2024.
Beliau berkata, dengan sokongan kuat, inisiatif dan strategi pembangunan diperkenalkan oleh Premier Sarawak, sektor pertanian akan menjadi penyumbang kepada KNDK Sarawak.
