Sektor pelancongan jana pendapatan lebih RM10 bilion, bakal pulih 2025

KUCHING: Sarawak mencatatkan kedatangan 3.98 juta pelancong dari Januari hingga Oktober 2024, meningkat 25.03 peratus (3.18 juta) berbanding tempoh sama 2023.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MTCP), Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kedatangan pelancong itu menjana pendapatan RM10.27 bilion iaitu meningkat 27.26 peratus berbanding tempoh sama pada 2023.

“Kementerian ini menyasarkan empat juta pelancong melawat negeri ini pada 2024 tetapi pada 15 November 2024, jumlahnya mencapai 4.08 juta orang,” katanya semasa menggulung perbahasan bagi kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini.

Beliau berkata, sektor pelancongan negeri ini yang diramal pulih sepenuhnya pada 2025, menyasarkan lima juta pelancong melawat Sarawak pada 2025 dengan menjana pendapatan RM12.73 bilion.

Pertumbuhan dalam sektor pelancongan itu, katanya, sejajar dengan matlamat yang digariskan dalam strategi pembangunan pasca covid-19 (PCDS) 2030.

Mengenai program Sarawak – Malaysia Rumah Kedua Ku (S-MM2H), Abdul Karim berkata, sejak MTCP mengambilalih program itu daripada Jabatan Imigresen Sarawak pada 2020, MTCP telah menubuhkan satu Jawatankuasa Penal Sehenti bagi melulus dan mempercepatkan permohonan program berkenaan.

Dari 2007 hingga 2019 (13 tahun), hanya sejumlah 1,240 permohonan diluluskan, tegas beliau dan menambah, dari 2020 hingga Oktober 2024 di bawah Jawatankuasa Panel Sehenti sebanyak 1,526 permohonan diluluskan.

Beliau berkata, dari 2007, lima negara teratas yang menyertai program itu ialah China (408), United Kingdom (355), Taiwan (265), Hong Kong (260) dan Amerika Syarikat (216).

Dari Januari sehingga Oktober 2024, beliau berkata, sejumlah 450 permohonan telah diluluskan dengan membuat simpanan tetap sebanyak RM90 juta dalam bank tempatan.