KUCHING: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengumumkan bantuan khas kewangan (BKK) sebanyak dua bulan mengikut gaji pokok terakhir bulan November 2024 kepada penjawat awam Sarawak.
Pengumuman itu dibuat semasa beliau menggulung perbahasan pada hari terakhir persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.
“Tahun 2024 telah menyaksikan banyak kejayaan dicapai oleh Sarawak dalam pelbagai bidang. Ini adalah hasil sumbangan semua pihak, termasuk anggota Perkhidmatan Awam Sarawak.
“Sebagai tanda penghargaan terhadap sumbangan dan komitmen anggota Perkhidmatan Awam Sarawak, sukacitanya saya ingin mengumumkan Pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak dua bulan mengikut gaji pokok terakhir bulan November 2024,” katanya.
Abang Johari menjelaskan, pembayaran BKK ini akan dibuat pada Disember ini.
“Kita juga berterima kasih atas sumbangan anggota Perkhidmatan Awam Persekutuan yang berkhidmat di Sarawak. Bagi menghargai jasa dan khidmat bakti mereka, saya ingin mengumumkan Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM700 seorang secara one-off yang akan dibayar pada suku pertama Tahun 2025,” katanya.
Abang Johari menjelaskan, jumlah keseluruhan implikasi kewangan bagi kedua-dua insentif BKK tersebut adalah dianggarkan sebanyak RM190 juta.
