Wang saku untuk pelajar IPT, tanpa kira pendapatan keluarga

KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengumumkan wang saku RM1,200 diberikan kepada semua pelajar Sarawak yang menuntut di institusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh negara.

Wang saku itu diberi kepada pelajar tanpa mengira pendapatan keluarga pada tahun depan, katanya.

“Pemberian wang saku itu merupakan komitmen Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk memastikan kebajikan bakat muda dijaga sebaiknya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini.

Abang Johari menjelaskan, Sarawak harus mentransformasi cara dalam pendekatan pendidikan untuk melengkapkan tenaga kerja dengan landskap ekonomi global hari ini, kecerdasan buatan (AI) dan automasi.

Beliau berkata, sistem pendidikan Sarawak harus berkisar kepada pemikiran kritikal, kreativiti dan dapat menerima perubahan.

Dengan berbuat demikian, Sarawak akan dapat melengkapkan rakyatnya untuk memenuhi keperluan dunia yang semakin cepat berubah.

Justeru, beliau menggesa IPT dan institusi Teknikal, Pendidikan dan Latihan Vokasional di negeri ini supaya terus berinovatif dan menggunakan kurikulum dan kaedah pengajaran terkini.

Pelajar Sarawak yang menuntut di IPT adalah bakat yang akan membangunkan masa depan negeri ini, katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa supaya mereka fokus 100 peratus kepada pengajian.