Program perintis selenggara bekas jalan pembalakan bermula Jun lalu

KUCHING: Sarawak kini melaksanakan program perintis penyelenggaraan jalan luar bandar membabitkan bekas jalan pembalakan di kawasan Baram bermula Jun lalu.

Timbalan Premier Sarawak yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, sebanyak RM5 juta diperuntukkan setiap tahun bagi setiap zon program perintis terbabit.

Katanya, dalam zon satu merangkumi Daerah Kecil Bario, Daerah Kecil Tinjar dan Daerah Telang Usan dan sebanyak RM4.9 juta telah dibelanjakan.

“Di zon dua meliputi Daerah Miri, Daerah Beluru dan Daerah Marudi, RM4.96 juta digunakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan bagi kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.

Uggah berkata, di zon tiga yang merangkumi Daerah Telang Usan dan Daerah Kecil Bario, sebanyak RM1.53 juta dibelanjakan.

Menurutnya, bekas jalan pembalakan ialah jalan dibina dan diselenggara oleh syarikat konsesi kayu dan setelah tidak diselenggara, jalan itu secara beransur-ansur merosot dari semasa ke semasa.

Katanya, jalan terbabit berfungsi sebagai penghubung penting masyarakat tinggal di pedalaman untuk memudahkan pergerakan masyarakat dan barangan.