Cadangan tubuhkan Pusat Sehenti Intervensi Awal di Kota Samarahan

KUCHING: Jawatankuasa Penasihat Pusat Sehenti Intervensi Awal (OSEIC) Sarawak sedang membincangkan bagi menubuhkan pusat terbabit di Samarahan.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, ketika ini lebih 34 kanak-kanak dari Samarahan dan seramai sembilan kanak-kanak dari Serian kini mengikuti sesi di OSEIC Kuching.

“Penubuhan pusat ini dijangka memberikan perkhidmatan lebih dekat kepada komuniti setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan jawatankuasa terbabit di sini, hari ini.

Fatimah berkata, seramai 536 kanak-kanak telah mendaftar di OSEIC Kuching dan 55 kanak-kanak di OSEIC Dalat sehingga 31 Oktober 2024.

“Majoriti terdiri daripada kanak-kanak Autism Spectrum Disorder (ASD) dan kelewatan pertuturan,” katanya.

Beliau juga mendedahkan senarai menunggu untuk OSEIC Kuching telah mencecah 422 kanak-kanak manakala tiada senarai itu di OSEIC Dalat.

Selain itu, menurutnya Premier Sarawak memperuntukkan sebanyak RM3.936 juta untuk meneruskan pelaksanaan program OSEIC ini dalam bajet 2025.

“Ini membuktikan Kerajaan Sarawak komited dalam memastikan anak-anak berkeperluan khas mendapat intervensi yang sewajarnya,”tambahnya.