Guna teknologi rumah hijau pacu sektor pertanian Opar

LUNDU: Konstituensi Opar akan menjadi kawasan pertama di negeri ini yang mengadaptasikan teknologi rumah hijau dalam sektor pertanian.

Projek itu akan dilaksanakan dengan kerjasama Kerajaan Belanda.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, projek ‘Metropolitan Food Cluster’ (MFC) yang akan dilaksana akan dipantau bersama Sarawak dan Belanda terutamanya dalam penyelesaian masalah memandangkan negara berkenaan mempunyai reputasi dan kejayaan yang kukuh dalam bidang pertanian.

Bagi tujuan itu katanya, sebanyak RM80 juta telah disuntik kerajaan negeri dengan kerjasama pihak swasta bagi menjayakan projek perintis tersebut.

Katanya, daripada jumlah tersebut, Kerajaan Sarawak bersetuju untuk menyalurkan RM60 juta, manakala RM20 juta lagi daripada swasta.

“Kita akan melabur lebih kurang RM60 juta untuk membina infrastruktur termasuk bekalan air dan elektrik yang harus ditingkatkan.

“Manakala, pihak swasta akan melabur lebih kurang RM20 juta dari sudut bahan pembinaan dan teknologi yang akan digunakan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah MFC Opar di Kampung Stungkor Baru, Lundu di sini.

Projek ini katanya akan dibina di atas tanah berkeluasan 80 hektar yang mana pada permulaannya akan dibangunkan seluas 10 hektar dan dijangka siap dalam tempoh 18 bulan.

Menurut Abang Johari, sekiranya MFC di Opar berjaya, beliau tidak menolak kemungkinan satu lagi fasiliti serupa akan dibangunkan di kawasan Bebuling, Spaoh pada masa yang akan datang.

Hadir sama, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Duta Besar Belanda ke Malaysia Jacques Louis Werner, Timbalan-timbalan Menteri kabinet Sarawak.