Kisah di sebalik Perjanjian Perdamaian Kapit 1924

KAPIT: Perjanjian Perdamaian Kapit 1924 berjaya mengakhiri konflik berpanjangan antara komuniti tempatan, khususnya antara kumpulan etnik Orang Ulu dan Iban.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belaga, Datuk Liwan Lagang berkata, ia juga membawa perubahan besar dalam kehidupan masyarakat Orang Ulu, meletakkan asas kepada keamanan masa kini.

“Selepas termeterainya Perjanjian Perdamaian Kapit, masyarakat Orang Ulu tidak lagi terbelenggu dalam konflik, sebaliknya memberi tumpuan kepada pembangunan komuniti, memelihara tradisi budaya dan memperkukuh aktiviti ekonomi.

“Selepas perjanjian ini, masyarakat mampu menjalani kehidupan lebih harmoni. Warisan ini perlu dipelihara dan dihormati agar generasi akan datang memahami pentingnya perdamaian,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ceramah dalam Seminar Antarabangsa Ulang Tahun Ke-100 Perjanjian Perdamaian Kapit 1924 di Dewan Suarah Kapit di sini, semalam.

Hadir sama Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Ahli Parlimen Kapit Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi, Penasihat Seminar Datuk Patinggi Tan Sri Leonard Linggi Jugah, Ahli Parlimen Hulu Rajang Datuk Wilson Ugak Kumbong dan kenamaan lain.

Menurut Liwan, kewujudan sempadan tradisional yang dikenali sebagai ‘Kaki Wong Mikai’, menjadi simbol persempadanan dan keamanan.

Katanya, kawasan di bawah sempadan ini merupakan wilayah masyarakat Iban, manakala kawasan di atasnya adalah teritori masyarakat Orang Ulu.

“Kejayaan perjanjian ini adalah hasil persefahaman dan kesediaan pihak yang terlibat untuk bekerjasama demi kebaikan bersama.

“Kehebatan Diplomasi Tradisional Perjanjian Perdamaian Kapit 1924 turut dianggap sebagai bukti kejayaan diplomasi tradisional yang berjaya merapatkan hubungan antara komuniti yang berkonflik,” katanya.