MUKAH: Kerajaan Sarawak menunjukkan komitmen kukuh terhadap pembangunan belia melalui pelbagai inisiatif yang dirancang dan dilaksanakan.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, sehingga kini, setiap aktiviti mahupun program melibatkan belia yang dibawa ke peringkat kabinet tidak pernah mendapat tentangan.
Menurutnya, semua ahli kabinet sepakat dalam memahami pentingnya pembangunan belia untuk memastikan kemajuan dan kesejahteraan Sarawak pada masa depan.
“Sokongan penuh daripada ahli kabinet, terutamanya dalam usaha menangani isu-isu sosial seperti penyalahgunaan dadah dan meningkatkan kemahiran belia dalam pelbagai bidang.
“Keprihatinan ahli kabinet terhadap isu belia sangat tinggi, sehingga ada kalanya mereka bertanya sama ada cukup atau perlu ditambah lagi program-program tersebut bagi mencapai matlamat pembangunan belia yang lebih efektif,” ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan amanat Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada Pelancaran Hari Belia Sarawak 2024 di Dewan Hotel Kingwood Beach Resort, semalam.
Menjelas lanjut, Abdul Karim menekankan bahawa Kerajaan Sarawak berusaha untuk memastikan tiada belia yang tertinggal daripada arus pembangunan.
Bagi merealisasikan matlamat ini, kementeriannya telah menyediakan pelbagai platform dan inisiatif, termasuk program latihan kemahiran, peluang keusahawanan, serta sokongan sosial yang dirancang khusus untuk memberi manfaat kepada belia Sarawak.
Sementara itu, bercakap dalam sidang media, Abdul Karim memberitahu, motif sambutan bukan sahaja untuk meraikan pencapaian dan potensi belia Sarawak, tetapi memberi penghormatan kepada usaha gigih belia yang telah membantu membangunkan Sarawak.
“Setiap tahun kementerian saya akan menetapkan satu tarikh untuk kita secara simboliknya memperingati pentingnya peranan belia dalam pembangunan wilayah ini.
“Penganugerahan juga diberikan kepada tokoh-tokoh belia yang terpilih, dengan harapan agar ia akan memberi inspirasi kepada belia-belia lain,” katanya.
Beliau mewakili Premier Sarawak turut menyampaikan Anugerah Belia Sarawak 2024 kepada penerima iaitu Persatuan Belia Miri dan Persatuan Junior Chamber International Sibu bagi kategori pertubuhan, manakala kategori Individu lelaki dan wanita pula, penerimanya ialah Mattasan Bohari dan Debbie Gibson Medan.
Hadir sama Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan Sarawak Dato Gerald Rentap Jabu, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian Royston Valentine, ADUN Daro Safiee Ahmad, ADUN Balingian Abdul Yakub Arbi, Residen Bahagian Mukah Datu Kueh Lei Poh.
