KABONG: Klinik Kesihatan Nyabor di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kabong siap dinaik taraf baru-baru ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir berkata, peruntukan berjumlah RM300,000 disediakan bagi projek naik taraf klinik daif terbabit yang juga azam Kerajaan Sarawak untuk menaik taraf semula semua hospital serta klinik daif di negeri ini.
“Pihak kita akan sentiasa memantau keperluan di Klinik Kesihatan Nyabor ini selain Klinik Kesihatan Kabong dari semasa ke semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa melakukan lawatan dan sesi randau bersama Panel Penasihat Klinik Kesihatan Nyabor di sini hari ini.
Chee Kadir berkata, ia dalam usaha pihaknya membantu klinik terbabit memberikan perkhidmatan terbaik untuk rakyat di kawasan itu.
Beliau juga menyampaikan geran khas kerajaan Sarawak berjumlah RM5,000 kepada Panel Penasihat Klinik Kesihatan Nyabor, selain bersetuju membantu pembinaan parkir kereta di kawasan klinik itu.
Hadir sama ialah Pengerusi Panel Penasihat Klinik Kesihatan Nyabor, Penghulu Kamalludin Mohd Rambli dan Pegawai Menguasa Klinik Kesihatan Nyabor, Dr Naqiyuddin Nor Kadim.
