JTS tidak pernah melantik individu urus permohonan lot tanah, jangan mudah tertipu

KUCHING: Jabatan Tanah dan Survei Sarawak (JTS) menasihatkan orang ramai tidak tertipu aktiviti perkhidmatan permohonan lot tanah yang ditawarkan melalui platform media sosial.

Menurut kenyataan media, Unit Perhubungan Awam Ibu pejabat JTS, ini kerana jabatan itu telah mengesan aktiviti terbabit pada 8 Januari 2025 oleh individu tertentu.

“JTS tidak pernah melantik mana-mana individu, agen atau pihak ketiga dalam urusan permohonan lot tanah,” menurut JTS.

Jabatan itu menjelaskan permohonan lot tanah bagi tujuan kediaman hanya boleh dilakukan secara atas talian melalui e-LASIS dan tidak menggunakan borang secara manual.

Manakala permohonan tanah untuk tujuan lain, JTS menyediakan borang yang boleh dimuat turun secara percuma dari laman sesawang jabatan.

“Sehubungan itu, orang awam dinasihat berhubung terus di mana-mana pejabat tanah dan survei berdekatan jika ingin memohon tanah lot kediaman atau kegunaan lain,” tambah JTS.

Sekiranya terdapat aktiviti yang menawarkan perkhidmatan seperti ini, orang ramai disarankan untuk menghubungi Pejabat Tanah dan Survei yang berdekatan ataupun email landsurvey@sarawak.gov.my untuk pertanyaan lanjut.