DARO: Hari ini mencatatkan satu sejarah apabila Jambatan Muara Lassa yang membabitkan kos pembinaan hampir RM600 juta mula dibuka kepada orang ramai.
Timbalan Menteri Infrastrutur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Aidel Lariwoo merasmikan majlis prapelancarannya pada satu majlis ringkas di sini hari ini.
Aidel mewakili Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Bercakap kepada media, Aidel menggesa Jabatan Kerja Raya (JKR) supaya mempertimbangkan untuk menambah bilangan feri di Batang Paloh dan Batang Igan.
Beliau berkata, dengan pembukaan Jambatan Muara Lassa kepada orang ramai mulai hari ini, jumlah aliran trafik dijangka tertumpu di kedua-dua laluan feri tersebut (feri Batang Paloh dan Batang Igan).
“Saya mohon supaya bilangan feri di kedua-dua laluan feri itu ditambah kerana jambatan di dua kawasan tersebut masih dalam pembinaan.
“Kedua-dua jambatan tersebut (Jambatan Batang Paloh dan Igan) dijangka siap pada penghujung tahun ini atau awal tahun depan,” katanya.
Dengan adanya jambatan tersebut akan memendekkan masa perjalanan dari tanah besar Daro ke Sibu (masa perjalanan satu jam setengah).
Turut hadir Timbalan Menteri Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak, Datuk Abdullah Saidol, Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi, Ahli Parlimen Tanjung Manis, Yusuf Abd Wahab, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad dan Pengarah JKR Sarawak, Ir Dr Cassidy Morris.
