DARO: Jambatan Batang Lassa di sini yang mula dibuka untuk kegunaan awam hari ini akan mengubah landskap kehidupan masyarakat di kawasan Matu, Daro dan kepulauan Bruit khususnya dari segi impak ekonomi dan kualiti kehidupan.
Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi berkata, bagi pihak rakyat di kawasan Parlimen P.207 Igan, beliau menzahirkan terima kasih kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Kerajaan Sarawak atas kejayaan membina jambatan terbabit.
“Saya bagi pihak rakyat di kawasan Parlimen P.207 Igan mengucapkan terima kasih kepada Premier dan Kerajaan Sarawak kerana telah merealisasikan hasrat rakyat di kawasan terbabit,” katanya sempena majlis prapelancaran Jambatan Batang Lassa di sini, hari ini.
Majlis prapelancaran itu dilakukan Timbalan Menteri Infrastrutur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Aidel Lariwoo yang mewakili Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Jambatan berharga RM597 juta itu adalah sebuah projek mega menggunakan dana Kerajaan Sarawak sendiri dan merealisasikan hasrat rakyat di kawasan ini untuk memiliki sebuah jambatan bagi memudahkan perjalanan mereka.
Ahmad Johnie berkata, majlis prapelancaran jambatan itu mencatat satu sejarah baharu pada awal tahun baharu 2025 bagi penduduk di kawasan pesisir.
“Berita mengenai pembukaan Jambatan Muara Lassa ini adalah saat yang ditunggu-tunggu oleh penduduk di sekitar Daerah Daro dan Daerah Matu termasuk penduduk di Kepulauan Bruit,” tegas beliau.
Beliau menyifatkan projek tersebut sebagai ‘Impian Berpuluh Tahun Menjadi Kenyataan’.
Jambatan ini, tambahnya, akan memudahkan dan mempercepatkan perjalanan penduduk berbanding sebelum ini kerana menggunakan perkhidmatan feri yang kadangkala terpaksa menunggu berjam-jam di pengkalan feri.
Menurut beliau lagi, jambatan Batang Lassa akan mempercepatkan pertumbuhan pekan Daro sebagai bandar satelit.
Untuk rekod, Jambatan Muara Lassa yang sepanjang 2.43 kilometer (km) ini mempunyai dua laluan, merupakan jambatan kedua terpanjang di Sarawak.
Ia merupakan antara tiga projek jambatan dibina oleh Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) pimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di kawasan pesisir selain Jambatan Batang Paloh dan Jambatan Batang Igan.
Sementara itu, Premier Sarawak bakal merasmikan jambatan tersebut pada 22 Februari depan.
