Projek jalan baharu perkampungan Baleh ditender semula

KAPIT: Projek pembinaan jalan baharu di kawasan perkampungan Baleh, Rh. Belaja, Nanga Benin, SK Nanga Pelagus dan Pelagus Resort ditender semula untuk dilaksanakan oleh kontraktor penyiap.

Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, ini memandangkan kontraktor asal telah ditamatkan kontrak. Projek itu membabitkan kos kira-kira RM70 juta.

Katanya, projek pembinaan jalan sepanjang tujuh kilometer (km) yang membabitkan dua jambatan itu dijangka siap pada April 2027.

Ia bakal memberikan manfaat kepada lebih 2,000 penduduk dari lima kawasan rumah panjang di sekitar perkampungan Baleh, Rh. Belaja, Nanga Benin, SK Nanga Pelagus dan Pelagus Resort.

“Meskipun jarak pembinaan jalan bagi projek ini agak pendek, tetapi ia memerlukan peruntukan besar dan tempoh masa selama tiga tahun kerana bentuk permukaan muka bumi di kawasan berkenaan agak mencabar,” katanya menerusi kenyataan di facebooknya, hari ini.

Nanta yang juga Ahli Parlimen Kapit menasihatkan kontraktor yang dilantik supaya menyiapkan projek dengan sempurna dalam tempoh masa ditetapkan.

Ia bagi mengelakkan lanjutan masa sekali gus membantu menjimatkan kewangan kerajaan.

“Sebagai Pengerusi Agensi Pembangunan Ulu Rajang (URDA), saya akan memastikan beberapa lagi projek pembinaan infrastruktur dan jalan raya di bawah URDA mendapatkan peruntukan yang sepatutnya bagi menyempurnakan jaringan jalan di kawasan ini.

“Saya yakin apabila beberapa projek di kawasan sekitar berjaya disiapkan dalam tempoh dua atau tiga tahun ini, ia akan menjadi sumbangan besar kepada penduduk bermula dari Kapit hingga ke Belaga,” katanya.

Terdahulu, beliau menyempurnakan majlis pecah tanah Projek Jalan Baharu Jambatan Baleh/ Rumah Belaja Nanga Benin, SK. Nanga Pelagus dan Pelagus Resort di bawah Agensi Pembangunan Ulu Rajang (URDA)- Fasa 1, Seksyen 1.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelagus, Wilson Nyabong Ijang.