SIBU: Penyertaan Sayap Pergerakan Belia Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dalam Mesyuarat Perwakilan Zon Tengah ini merupakan peluang terbaik untuk mereka mendapat pendedahan dalam politik.
Ahli Majlis Tertinggi (MT) Parti PBB, Safiee Ahmad berkata, ini adalah peluang mereka menimba ilmu serta mendapatkan pengalaman untuk meneruskan perjuangan parti pada masa akan datang.
“Adalah diharap agar ahli-ahli belia yang terlibat atau yang hadir sama dalam konvensyen ini mengambil peluang untuk mempelajari dan menimba ilmu,” katanya selepas meninjau persiapan penganjuran Mesyuarat Perwakilan Parti PBB Zon Tengah di Stadium Tertutup Sibu, di sini, petang tadi.
Menyentuh tentang mesyuarat tersebut, Safiee yang juga ADUN Daro bersyukur atas kepentingan khursusnya pucuk pimpinan parti mencadangkan supaya diadakan konvensyen untuk setiap zon.
“Kita antara zon pertama mengadakan konvensyen ini yang akan diadakan di Stadium Tertutup Sibu esok (11 Januari),” katanya.
Beliau memberitahu, antara tujuan konvensyen ini untuk bersama-sama mendengar amanat daripada Premier Sarawak selaku Yang di-Pertua parti.
“Konvensyen ini peluang untuk kita mendengar amanat daripada Premier berhubung hala tuju parti, apa yang kita perlu laksana sebagai ahli parti. Ini akan kita jadikan panduan dalam melaksana tanggungjawab sebagai ahli parti dan pengurusan di peringkat cawangan.
“Antara pengisiannya, kita akan membentangkan beberapa usul mewakili cawangan di Zon Tengah ini,” jelasnya.
Turut hadir ialah Naib Yang di-Pertua parti, Datuk Dr Annuar Rapaee dan Ketua Wanita Dato Sri Fatimah Abdullah.
