KUALA LUMPUR: Bantuan dari kerajaan kepada mangsa banjir dicadangkan dipanjangkan kepada yang tidak berpindah dan sebahagian rumah ditenggelami air.
Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee berkata, antara bentuk bantuan disediakan termasuk Bantuan Wang Ihsan (BWI) sebanyak RM1,000 kepada setiap Ketua Isi Rumah (KIR) yang terjejas.
Selain itu, bantuan kmatian sebanyak RM10,000 kepada waris mangsa kehilangan ahli keluarga.
“Kita mencadangkan bantuan ini merangkumi atau dipanjangkan terhadap mangsa banjir yang tidak berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) tetapi sebahagian rumah mereka ditenggelami air terutamanya yang berumah dua tingkat dan terputus hubungan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengambil bahagian dalam Ucapan Peraturan Mesyuarat 18 (1) (Pindaan) 2024 Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Isu Banjir Dan Tanah Runtuh Di Sarawak Dan Sabah di Parlimen di sini, hari ini.
Rodiyah berkata, ini termasuk bantuan selepas bencana seperti pampasan kepada petani hilang punca pendapatan akibat kebun ditenggelami air dan penternak kematian haiwan ternakan.
“Selain itu, bantuan alatan seperti dapur, tilam termasuk kelengkapan sekolah yang akan dibuka tidak lama lagi,” tambahnya.
Menurutnya bantuan proses pencucian dan pembaikian rumah yang terjejas juga perlu diambilkira bagi mangsa yang terlibat.
“Bagi meningkatkan keberkesanan pengurusan bencana, NADMA perlu mempercepatkan pendigitalan sistem permohonan dan pengagihan bantuan agar prosesnya lebih telus dan pantas,” tambahnya.
Selain itu, katanya koordinasi antara NADMA, kerajaan negeri, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan pihak swasta perlu diselarikan bagi memastikan bantuan sampai kepada mereka yang memerlukan.