PUSA: Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) memupuk semangat kebersamaan dan penghayatan ibadah menerusi penganjuran Program Korban Perdana sempena Hari Raya Aidiladha di Dataran Tandang Sari, di sini, hari ini.
PBB Zon Betong di DUN N29 Beting Maro jadi tuan rumah program. Ia merupakan program tahunan Pergerakan Pemuda Parti PBB.
Pemuda Parti PBB Zon Betong, Dewan Undangan Negeri (DUN) Beting Maro sebagai tuan rumah dengan penglibatan aktif ahli-ahli pemuda serta masyarakat.
Sebanyak lima ekor lembu ditumbangkan semasa program tersebut, yang bukan sahaja bertujuan menunaikan ibadah korban, malah memperkukuh hubungan silaturahim serta semangat gotong-royong dalam kalangan masyarakat.
Majlis dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro, Dato Razaili Gapor.
Turut hadir, ADUN Lingga, Dayang Noorazah Awg Sohor; Setiausaha Politik Premier Sarawak, Afiq Fikri Brahim; Pergerakan Pemuda Negeri; serta Jawatankuasa Pengelola Program diketuai Ketua Pemuda Cawangan Beting Maro, Awg Nashfarini Awg Sarbini, Ketua-Ketua Pemuda dan Ahli Jawatankuasa Pemuda cawangan.
Program tersebut mencerminkan keprihatinan dan peranan aktif Pergerakan Pemuda mendekati masyarakat, di samping mengimarahkan sambutan Aidiladha melalui aktiviti kebajikan dan keagamaan.
Selain pengagihan daging korban kepada golongan yang memerlukan, program ini turut menjadi platform untuk mengukuhkan perpaduan serta semangat kerjasama dalam kalangan generasi muda di kawasan tersebut.
