MALUDAM: Sebanyak 20 ekor lembu diagihkan ke beberapa kawasan terpilih di seluruh kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lingga sempena Ibadah Korban tahun ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor berkata, agihan tersebut melibatkan beberapa kampung di sekitar Lingga, Sri Aman dan Maludam bagi memastikan lebih ramai penduduk dapat menikmati ibadah korban.
Menurut beliau, antara kawasan yang menerima sumbangan ialah Kampung Melayu Lingga sebanyak tiga ekor, Kampung Agropolitan Seduku seekor, Kampung Skait dan Pangkat seekor serta Kampung Stumbin seekor.
Katanya, Kampung Tanah Baru Sembau bersama Pusat Khidmat ADUN Lingga turut menerima seekor lembu korban, manakala Kampung Hilir Ladong Sri Aman menerima tiga ekor.
Selain itu, Kampung Tengah Sri Aman menerima seekor lembu, Kampung Hulu Lemanak Sri Aman tiga ekor, Kampung Melayu Maludam empat ekor dan Kampung Melayu Triso seekor.
Masjid Besar Sri Aman turut menerima seekor lembu korban bagi menjayakan program ibadah korban bersama masyarakat.
Sementara itu, Dayang Noorazah turut menghadiri Program Ibadah Korban di Masjid Maludam pagi tadi yang melibatkan lima ekor lembu untuk Kampung Melayu Maludam dan Kampung Melayu Triso.
Beliau berharap program ibadah korban yang dilaksanakan itu akan terus membawa keberkatan, mengeratkan hubungan silaturahim serta memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat di kawasan DUN Lingga.
