Pemulihan Terminal LPG Bintulu sedang giat dilaksanakan

KUCHING: PUSAKA Integrated Resources Sdn Bhd (PIRSB) dengan penyelarasan Lembaga Pelabuhan Bintulu (LPB) memulakan operasi untuk menstabilkan tapak dan membaik pulih di Terminal LPG Bintulu yang terjejas susulan tanah runtuh baru-baru ini.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (MUT) Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, ini bagi memastikan bekalan silinder LPG bersubsidi tidak terganggu untuk pengguna domestik dan silinder LPG tanpa subsidi bagi pengguna komersial.

Katanya, penilaian berterusan akan dijalankan, manakala pembaikan dan operasi di terminal akan disambung semula setelah tapak itu selamat.

“Sebagai tindak balas kepada kejadian tanah runtuh yang menjejaskan Terminal LPG Bintulu, langkah segera diambil untuk menangani situasi tersebut.

“PETROSNiaga mengaktifkan Pelan Kesinambungan Perniagaan luar jangka dan telah mengalihkan bekalan LPG dari Terminal PIRSB Bintulu ke kemudahan Senari IOT Kuching.

“Kami memantau keadaan dengan teliti dan akan terus memberikan maklumat terkini,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.

Banjir yang melanda Bintulu baru-baru ini ekoran hujan lebat yang berterusan direkodkan sebagai yang paling teruk dalam sejarah.

Keadaan cuaca ekstrem itu mencetuskan tanah runtuh di atas bukit di belakang Terminal LPG PUSAKA Integrated Resources Sdn. Bhd. (PIRSB) dan tangki simpanan air di bawah Lembaga Pelabuhan Bintulu, terletak di puncak bukit.