Beri peluang golongan OKU bekerja, JobStock akan hubungi pelanggan korporat

KUCHING: Kerajaan percaya golongan kelainan upaya (OKU) boleh menjadi sebagai tenaga buruh berkualiti untuk syarikat sekiranya diberi peluang.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah justeru menggesa korporat swasta di negeri ini menerima OKU terutama warga pekak sebagai tenaga kerja pada masa hadapan.

“Kerajaan Sarawak memerlukan kerjasama dan penglibatan aktif sektor swasta dalam pelbagai aspek,” katanya pada majlis menandatangani Memoradum Persefahaman (MoU) antara Jobstock dan Persatuan Orang-orang Pekak Sarawak di sini hari ini.

Beliau berkata, JobStock telah menunjukkan contoh yang dengan mengambil inisiatif untuk menyumbangkan tenaga dalam usaha membangunkan kerjaya warga berkenaan melalui MoU itu.

Kerajaan Sarawak, katanya, amat prihatin terhadap kemampanan ekonomi dalam kalangan warga pekak dan berpendapat pengukuhan kerjaya di sektor
swasta adalah penting untuk memperkasakan kemampanan ekonomi mereka.

“Saya tidak meragui keupayaan golongan tersebut untuk menyumbangkan tenaga buruh berkualiti dan memain peranan penting dalam membangunkan ekonomi Sarawak,” tegas beliau.

Melalui MoU JobStock akan menghubungi hampir 5,000 pelanggan korporat swasta di seluruh Sarawak untuk mengesyorkan warga berkenaan sebagai tenaga kerja pada masa hadapan.

“Kita mengumpul maklum balas daripada mereka tentang ketersediaan mereka untuk cadangan ini,” katanya.