KUCHING: Sebanyak 42 persatuan belia dan sukan di Sarawak menerima geran berjumlah RM1.89 juta.
Daripada jumlah tersebut, lima persatuan belia menerima geran keseluruhan berjumlah RM434,600 manakala sebanyak 37 persatuan sukan menerima geran keseluruhan berjumlah RM1.46 juta.
Majlis penyampaian geran itu dilakukan Menteri Belia, Sukan Dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah pada Majlis Penyampaian Geran Belia dan Sukan di Bangunan Baitulmakmur 2 di sini, hari ini.
Sementara itu, Abdul Karim berkata, Sarawak akan menganjurkan semula Sukan Borneo selepas Ogos tahun ini, selepas kali terakhir diadakan 2009.
Katanya, perbincangan masih dilaksanakan namun Sabah, Brunei dan Kalimantan Barat mengalu-alukan temasya ini agar dihidupkan semula.
“Kita melihat penganjuran Sukan Borneo selepas separuh pertama tahun ini iaitu mungkin selepas Ogos.
“Sehingga akhir tahun lalu, kita masih mengenal pasti kerana kita perlu berbincang dengan komponen lain,” katanya.
Tambah beliau, beberapa negeri seperti Johor turut menyatakan minat untuk menyertai Sukan Borneo kali ini namun terpaksa ditolak bagi memfokuskan kepada negeri dan negara yang berada di Kepulauan Borneo.
