Taklimat Faraid tingkat pemahaman pengurusan harta cara Islam

DARO: Seramai 300 peserta menghadiri Taklimat Faraid anjuran Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) Daerah Daro di sini, semalam.

Ia bertujuan memberi pemahaman mengenai aspek pembahagian harta pusaka, termasuk wasiat, hibah dan wakaf.

Taklimat diadakan di perkarangan Masjid Tunku Abdul Rahman, Daro itu dirasmikan Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi.

Ia turut dihadiri oleh Pegawai Agama Islam Daerah Daro, Ustaz Ahmad Shah Affandie, serta pemimpin tempatan seperti Penghulu Abu Bakar Salleh dan Ketua Kaum Hamran Badong.

Dalam ucapan ringkasnya, Ahmad Johnie menekankan kepentingan kesedaran masyarakat terhadap ilmu faraid serta pengurusan harta menurut ajaran Islam.

Ia termasuk meningkatkan pemahaman masyarakat mengenai kepentingan perancangan harta secara Islam serta mengukuhkan hubungan ukhuwah antara masyarakat.

Antara pengisian utama program ialah ceramah berkaitan hukum-hakam faraid yang disampaikan Pegawai Syariah Mahkamah Syariah Sibu, Ustaz Ibnuhafiq Fitree Suhairi.

Selain itu, penerangan peranan institusi agama dalam membantu masyarakat menguruskan harta secara teratur dan adil.

Sebagai tanda kebersamaan, Pengerusi Amanah Saham Sarawak (ASSAR) Datuk Sri Abdul Wahab Dollah turut menyampaikan sumbangan daging lembu kepada hadirin sempena Nisfu Syaaban.