Abdul Karim serah kedudukan kabinet pada Premier Sarawak

KUCHING: Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah menyerahkan kepada Premier Sarawak berhubung kedudukan beliau dalam kabinet Sarawak.

Ini setelah beliau gagal mempertahankan kerusi Naib Yang di-Pertua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) pada Perhimpunan Agung Ke-16 Parti PBB di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.

“Tapi itu (Kabinet Sarawak) hak prerogatif dia (Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg). Sama ada ia akan menjejaskan atau tidak (kedudukan dalam kebinet), saya perlu berbincang dengan beliau kerana perwakilan sudah membuat keputusan,” katanya.

Abdul Karim berkata, beliau menghormati keputusan perwakilan dan juga proses demokrasi dalam pemilihan.

“Jika ada keperluan untuk dia (Premier) melihat kemungkinan lain, rombakan kabinet dan perkara-perkara seperti itu, saya bersedia untuk melepaskannya,” tambahnya.

Selain itu, beliau juga akan melakukan bedah siasat terhadap keputusan pemilihan itu.