KUCHING: Perjuangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkhidmat kepada rakyat dan bukan membuat janji kosong.
Timbalan Yang di-Pertua Parti PBB yang juga Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan menegaskan perjuangan mereka ialah sentiasa memastikan parti itu kukuh.
Katanya, perjuangan mereka juga untuk Sarawak stabil, maju dan makmur dengan menambah baik perkhidmatan mereka kepada rakyat dari semasa ke semasa.
“Kita di sini bukan untuk membuat janji-janji kosong atau omong-omong kosong. Kita di sini untuk mengukuhkan lagi wawasan dan komitmen perjuangan kita,” katanya.
Beliau berkata demikian sempena Perhimpunan Agung Ke-16 Parti PBB di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.
Awang Tengah menambah mereka juga akan berjuang untuk setiap rakyat Sarawak dan mempertahankan hak Sarawak serta bersama Yang di-Pertua Parti PBB meneruskan perjuangan dan memartabatkan maruah parti itu.
“Setinggi manapun gunung yang akan didaki, sepanjang manapun Sungai Rajang yang kita renangi, kita akan sentiasa bersama Yang di-Pertua,”tambahnya.
