Kabinet Sarawak dikekalkan, tiada rombakan – Premier

KUCHING: Yang di-Pertua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengesahkan tidak ada rombakan kabinet susulan keputusan pemilihan Perhimpunan Agung Ke-16 Parti PBB yang berakhir pada lewat petang ini.

“Tidak ada (rombakan kabinet), itu pregrotive saya sebagai Premier,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas penangguhan Perhimpunan Agung Ke-16 Parti PBB di Pusat Konvevsyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.

Dalam pemilihan perhimpunan ini, dua Naib Yang di-Pertua gagal mempertahankan jawatan tersebut.

Mereka ialah Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak yang juga Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah dan Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi.

Abang Johari malahan turut mengesahkan barisan Kabinet Sarawak yang sedia ada akan berterusan.

“Tiada kaitan dengan rombakan. Ia akan berterusan, teruskan seperti sedia ada,” katanya.

Di samping itu, beliau juga menjelaskan calon yang gagal mempertahan jawatan dalam pemilihan tersebut masih lagi sepasukan untuk berjuang dalam Parti PBB.