Resolusi penubuhan Majlis Yang di-Pertua Parti PBB dipersetujui perwakilan

KUCHING: Perhimpunan Agung Ke-16 Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) menyaksikan resolusi penubuhan Majlis Yang di-Pertua.

Majlis Yang di-Pertua itu berperanan sebagai badan yang membuat keputusan dalam berhadapan sebarang isu.

Timbalan Yang di-Pertua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, resolusi untuk menubuhkan majlis itu disokong sebulat suara oleh perwakilan.

“Majlis ini merupakan satu mekanisme yang digunakan oleh pucuk pimpinan tertinggi Parti PBB bagi berbincang dan membuat keputusan dalam menghadapi sebarang isu.

“Ia adalah sebuah jawatankuasa kecil. Jadi apabila ada isu yang perlu dibincangkan dengan segera, naka lebih mudah (untuk berkumpul dan berbincang).

“Jika kita perlu memanggil mesyuarat majlis tertinggi, ia akan menjadi lebih sukar kerana akan mengambil lebih banyak masa,” jelasnya.

Beliau berkata demikian selepas Perhimpunan Ke-16 Parti PBB di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), yang melabuh tirainya pada lewat petang tadi.

Menurut Uggah, keputusan resolusi itu akan dibentangkan kepada Majlis Tertinggi (MT) untuk pengesahan.