KUCHING: Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi melihat kejayaan mengekalkan jawatan Naib Yang di-Pertua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) sebagai suara rakyat khususnya dari luar bandar.
“Parti PBB adalah parti yang berakar umbi di kawasan luar bandar dan saya percaya juga kepercayaan yang diberi oleh rakan-rakan Parti PBB dari seluruh Sarawak boleh melambangkan suara rakyat khususnya dari luar bandar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kemenangannya pada pemilihan Perhimpunan Agung Ke-16 Parti PBB di BCCK di sini, hari ini.
Julaihi berkata, beliau juga berasal dari luar bandar, lahir di luar bandar, dibesarkan di luar bandar dan mewakili kawasan luar bandar.
“Lebih-lebih lagi di kawasan pesisir. Jadi, saya akan menjalankan tugas seperti yang diharapkan lebih-lebih lagi tanggungjawab saya di Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak,” katanya.
Beliau sehubungan itu menzahirkan terima kasih kepada semua para pewakilan, pemerhatian dan rakan-rakan Parti PBB yang hadir di Perhimpunan Agung Parti PBB terbabit.
