RM500,000 naik taraf masjid Kampung Medang

SARIBAS: Penduduk di Kampung Medang di sini akan memiliki sebuah masjid serba lengkap sejurus kerja menaik taraf Masjid Darul Ibadah baharu fasa dua siap dalam masa terdekat.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Mohammad Razi Sitam berkata, kerja menaik taraf Masjid Darul Ibadah baharu fasa dua itu bernilai keseluruhan RM500,000.

Skop projek fasa kedua itu meliputi pembinaan tapak parkir, pintu masuk baharu dan pagar, serta penyambungan bekalan elektrik, katanya selepas memantau kemajuan perlaksanaan projek fasa pertama masjid berkenaan di sini.

Beliau berkata, projek menaik taraf infrastruktur fasa kedua di Masjd Darul Ibadah baharu itu akan bermula dalam masa terdekat dan kontraktor telahpun dilantik oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) selaku agensi pelaksana.

Razi juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas berkata, projek tersebut untuk meningkatkan kemudahan infrastruktur di masjid berkenaan yang menjadi tumpuan komuniti dan pusat ibadah penduduk setempat.

“Apabila siap nanti, ia akan memberikan keselesaan kepada jemaah dalam mengukuhkan semangat perpaduan,” jelas beliau.

Semasa lawatan ringkas itu, Razi turut penyerahan cek peruntukan daripada Jabatan Premier Sarawak kepada pihak pengurusan masjid berjumlah RM39,900.

Peruntukan tersebut adalah bagi tujuan pemasangan karpet Masjid Darul Ibadah yang disampaikan oleh Ketua Kampung Medang, Shafiee Lugom sambil disaksikan oleh barisan ahli jawatankuasa pengurusan Masjid Darul Ibadah.

Shafiee Lugom yang menzahirkan rasa syukur memberitahu, peruntukan itu amat bermakna kepada pihak masjid demi keselesaan para jemaah ketika menunaikan ibadah.

“Pemasangan karpet yang disumbangkan melalui peruntukan daripada Jabatan Premier Sarawak ini akan memberi keselesaan yang lebih kepada jemaah semasa menunaikan solat,” katanya.