Jabatan Hutan nafi wujud pembalakan haram di Saratok

KUCHING: Agensi penguatkuasaan yang membantu
dalam penguatkuasaan kesalahan hutan disaran merujuk kepada Jabatan Hutan Sarawak (JHS) sebelum mengeluarkan kenyataan susulan tangkapan masing-masing.

Perkara ini dibincangkan dan dipersetujui dalam Mesyuarat ‘State Illegal Logging Task Force (STFIL)’ yang dipengerusikan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan .

Unit Perundangan dan Khidmat Nasihat JTS dalam kenyataan di sini, berkata, perkara ini penting bagi mengelakkan sebarang kenyataan yang menimbulkan salah faham orang awam seolah-olah pembalakan haram di Sarawak masih berleluasa.

“Malah, hal seumpama ini bukan sahaja menjejaskan reputasi wilayah Sarawak secara amnya, tetapi turut menjejaskan kredibiliti agensi-agensi penguatkuasaan itu sendiri khususnya,” katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan sebagai mengulas kenyataan media yang terlalu cepat daripada sebuah agensi penguatkuasaan lain berkenaan tangkapan ke atas kayu-kayu balak yang sah dan kegiatan pembalakan haram di Saratok baru-baru ini.

Penyiaran berita yang tidak betul ini boleh menjejaskan imej Kerajaan Negeri Sarawak, katanya dan menambah, JHS menzahirkan rasa kesal dengan penyiaran media yang tidak betul mengenai pembalakan haram terbabit.

JHS menzahirkan penghargaan kepada semua agensi penguatkuasaan yang sama-sama membantu dalam membanteras kegiatan pembalakan haram di Sarawak.

Hakikatnya, kata kenyataan itu, setelah diperiksa oleh pegawai-pegawai penguatkuasa JHS bersama yang lain pada hari tersebut terhadap kayu-kayu balak terbabit didapati mempunyai tanda tukul Jabatan Hutan dan tanda tukul Hak Milik yang sah.

Semakan ke atas kayu-kayu balak tersebut juga telah dibuat dan didapati kesemuanya telah dicukai serta ukuran kayu juga didapati konsisten seperti yang terdapat dalam sistem REVLOG Jabatan, katanya.