OSLO (Norway): Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan sedang mengetuai rombongan dari Sarawak untuk mengkaji cara pengurusan perancangan bandar raya dan strategi kelestarian pembangunan di Oslo, Norway.
Bersama rombongan dari Sarawak dalam lawatan itu ialah Datuk Jefferson Jamit Unyat, Wilson Nyabong Ijang, Datuk Ismawi Ismuni, Datu Abdullah Julaihi, Datu Lester Matthew, Dzulkornain Masron, Mohd Adzrul Adzlan wakil Kamar Ketua Hakim Negeri dan pegawai kanan Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar (MUDeNR) Sarawak.
Selain itu, wakil kerajaan tempatan dan perancangan bandar turut sama. Lawatan itu bertujuan mempelajari kejayaan Oslo dalam mengitegrasikan kelestarian dalam pembangunan bandar.
Selain itu, memahami undang-undang perancangan dan peraturan yang mengurus pembangunan bandar di Oslo dan struktur perancangan bandaraya dan proses tadbir urusnya.
Sarawak berminat mempelajari cara dan kerangka perancangan bandar Oslo yang boleh diguna pakai bagi memenuhi cabaran unik di negeri ini
Lawatan itu dianjurkan Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) yang dipimpin Datuk Ismawi Ismuni. Ia sebagai sebahagian daripada usaha Sarawak menerokai dan melaksanakan amalan kelestarian bandar.
Dalam sesi libat urus, rombongan dari Sarawak mengetengahkan rancangan pembangunan bandar baharu Kapit, satu projek yang direka bagi menangani cabaran spesifik kawasan berbukit bakau yang menyerupai landskap Oslo dan Bergen, Norway.
Fokus utama rombongan dari Sarawak itu untuk memahami cara Oslo yang berjaya mengintegrasikan zon perindustrian dan kediaman bagi menyokong kegiatan ekonomi sambil mengimbangi keperluan kelestarian pembangunan.
Rombongan dari Sarawak itu juga berminat mempelajari cara bandar raya terbabit yang turut memiliki sistem pengangkutan bersepadu dengan pembangunan bandar, menjamin kesalinghubungan antara kawasan kediaman, perindustrian dan komersial.
Penasihat Perancangan, Kerajaan Bandaraya Oslo, Peter Austin memberi taklimat kepada rombongan dari Sarawak mengenai kawasan hijau separti tempat pakir bandar, disatukan dalam kawasan bandaraya Oslo, sambil memulihara budaya bandarnya, dengan mendedahkan pentingnya penyertaan rakyat dalam proses perancangan.
Rombongan dari Sarawak turut mempelajari amalan terbaik dalam beberapa sektor penting termasuk pengurusan sisa buangan, pengurusan tasik, projek perumahan, jagaan kesihatan dan pembangunan sukan dan kemudahan rekreasi yang menyumbang kepada kesejahteraan hidup penduduk bandar.
Fokus utama turut diberi dalam bidang kerjasama ekonomi, terutamanya dalam sektor minyak dan gas, perhutanan, pertanian dan tenaga. Norway terkenal di peringkat global dalam menguruskan sektor berkenaan.
Rombongan Sarawak menaruh minat mendalam untuk mewujud kolaborasi dalam bidang teknologi seperti Perangkap, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS), ekonomi digital dan penyelesaian tenaga bersih seperti hidrogen dan teknologi hijau.
Kedatangan rombongan dari Sarawak disambut mesra oleh pegawai kanan Penasihat Politik Naib Walikota Pembangunan Bandar dan Timbalan Ketua Parti Konservatif Oslo, Ingeborg Tennes, Peter Austin dan Penasihat Kanan Pejabat Walikota, Eike Nilsen.
Perbincangan dijangka diteruskan dalam masa beberapa hari akan datang untuk menerokai peluang kolaborasi dan bertukar-tukar pandangan dalam perancangan bandar dan kelestarian pembangunan.
