KUCHING: Program saringan digital TOY8 baharu diperkenal mendapat pujian sebagai penyelesaian menangani senarai menunggu yang panjang di Pusat Intervensi Awal Sehenti (OSEIC) di Sarawak.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah menyatakan bahawa walaupun OSEIC pada mulanya menampung 100 kanak-kanak, permintaan yang semakin meningkat telah mengatasi kemudahan sedia ada yang membawa kepada masa menunggu yang lebih lama.
Jelasnya, penilaian oleh doktor di Hospital Kerajaan Sarawak pada masa ini terhad kepada hanya empat kanak-kanak setiap bulan yang melambatkan lagi intervensi awal.
“Dengan program saringan digital TOY8, kami percaya boleh menangani isu ini. Projek perintis di SeDidik mendatangkan hasil yang memberangsangkan.
“Saya yakin pendekatan ini akan membantu menguruskan senarai menunggu dengan lebih berkesan,” katanya pada Majlis Graduasi OSEIC Sarawak 2025 di sini, hari ini.
Menurutnya, program TOY8 menawarkan penilaian digital berasaskan permainan yang inovatif terhadap perkembangan bahasa, kognitif, motor dan sosial kanak-kanak, sambil turut menyediakan sokongan intervensi yang disasarkan.
Dengan menggunakan kecerdasan buatan (AI), saringan katanya boleh membantu mengenal pasti kanak-kanak yang mempunyai keadaan seperti autisme, kelewatan perkembangan global dan kelewatan pertuturan pada peringkat awal, membolehkan campur tangan yang tepat pada masanya dan berkesan.
Seramai 133 graduan muda diraikan yang mana 25 kanak-kanak memasuki pendidikan arus perdana, manakala 93 akan melanjutkan pelajaran di bawah Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).
Selain itu, 15 kanak-kanak akan didaftarkan di Sekolah Rendah Pendidikan Khas (SKPK).
