KUCHING: Pameran Kerjaya dan Latihan Sarawak (Pesta SCaT) akan diadakan di Pusat Acara Hikmah Exchange di sini, mulai 6 hingga 7 Jun ini.
Pameran terbesar itu mensasarkan lebih 25,000 pengunjung fizikal dan lebih 100,000 penonton dalam talian di seluruh negeri.
Edisi ke-12 pameran berkenaan dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD), dengan kerjasama Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS), serta sokongan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS).
Menteri MEITD Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, lebih 50 pempamer terdiri daripada institusi pengajian tinggi awam dan swasta, industri, agensi kerajaan, penyedia bantuan kewangan, institusi TVET dan organisasi latihan akan menyertai pameran ini.
Katanya, dengan sokongan kukuh daripada PERKESO menyelaras penyertaan industri, SCaT Fair 2026 juga akan menampilkan sesi temu duga terbuka melibatkan pelbagai industri dan majikan.
“Sehingga kini, kira-kira 1,982 kekosongan jawatan merentasi pelbagai sektor termasuk pembinaan, pembuatan, perkhidmatan, minyak dan gas serta industri teknikal akan ditawarkan kepada pencari kerja sepanjang program berlangsung.
“Salah satu tarikan istimewa SCaT Fair 2026 ialah Zon Minyak & Gas yang diselaraskan oleh PETROS.
“Zon ini akan menampilkan penyertaan pemain utama industri minyak dan gas dengan pameran galeri interaktif, pameran industri serta Sudut Perkongsian Minyak & Gas.
“Ia bertujuan memberikan pendedahan mengenai peluang kerjaya, perkembangan industri dan keperluan tenaga kerja masa depan dalam sektor tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media di Auditorium Tegas Digital Village hari ini.
Selain itu katanya, pengunjung juga boleh menantikan pelbagai program sampingan dan aktiviti interaktif menarik sepanjang acara dua hari ini, termasuk STEM Playground, Kejohanan Minecraft Sarawak, Cabaran Sarawak Rocketeer, Pertandingan TVET Master, Program Eksplorasi Kerjaya (CEP) dan banyak lagi.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dijadual merasmikan pameran itu.
Untuk maklumat lanjut mengenai SCaT Fair, sila layari www.scatfair.com atau ikuti laman Facebook TEGAS bagi mendapatkan perkembangan aktiviti dan pengumuman terkini.
