12 individu terima kunci Rumah Spektra Permata

SARIKEI: Seramai 12 individu di sini lega selepas menerima kunci Rumah Spektra Permata (RSP).

Majlis tersebut disempurnakan oleh Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang, Datuk Len Talif Salleh di Dewan Serbaguna Bangunan IAC Sarikei hari ini.

Menurut Len, RSP ini merupakan bukti komitmen Kerajaan Sarawak dalam menyediakan rumah mampu milik kepada rakyat.

Beliau turut menasihati penerima agar menjaga rumah itu sebaiknya sebagai aset untuk diri dan generasi akan datang.

Sebanyak 50 unit RSP diluluskan untuk kawasan Dewan Undngan Negeri (DUN) Kuala Rajang, dengan 30 unit dibina di Susur Jambu, Sarikei dan baki 20 unit di Kampung Rajang.

Manakala, 30 unit rumah yang siap dibina di Susur Jambu ini membabitkan kos RM7.96 juta dan disiapkan 30 November 2024.

Rumah-rumah ini menggunakan teknologi Sistem Binaan Berindustri (IBS) bagi memastikan kualiti dan ketahanan yang lebih baik.

Setiap unit mempunyai keluasan 850 kaki persegi, dilengkapi tiga bilik tidur, ruang tamu, serta dua bilik mandi.

Dari segi infrastruktur, projek ini turut merangkumi pembinaan jalan raya, sistem perparitan serta pemasangan lampu jalan bagi menjamin keselesaan dan keselamatan penduduk.

Sijil Menduduki (Occupation Permit) telah dikeluarkan oleh Majlis Daerah Sarikei pada 20 Januari 2025, membolehkan penghuni berpindah masuk dengan segera.

Terdahulu pada program berasingan, Len bersama ADUN Balingian yang juga Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC), Abdul Yakub Arbi turut melawat tapak projek di Skim Pembesaran Kampung Susur Jambu serta menyempurnakan simbolik penyerahan kunci kepada salah seorang penerima.