KUCHING: Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (MUTS) komited memartabatkan budaya kerja berintegriti dalam kalangan kakitangannya.
Ini menerusi penyertaan MUTS dalam Anugerah Integriti, Governans dan Antirasuah (AIGA) 2025 dan Anugerah Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak (AKPANS).
Menterinya Dato Sri Julaihi Narawi berkata, MUTS turut mengambil langkah proaktif dengan melancarkan Polisi Kualiti Kementerian untuk memperkukuhkan sistem penyampaian perkhidmatan dan memastikan kecemerlangan operasi di semua peringkat.
“Penyertaan MUTS dalam AKPANS dan AIGA merupakan usaha baik bagi menyokong dasar tadbir urus yang efisien serta memartabatkan integriti sebagai budaya kerja,”
katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pengagihan Bubur Pedas dan Penyerahan Sumbangan Perayaan Anjuran Kelab Sukan Dan Rekreasi (KESURIA) MUTS, di sini hari ini.
Julaihi turut berkesempatan mengagihkan bubur pedas kepada warga kerja MUTS yang hadir, termasuk sumbangan perayaan bukan sahaja untuk Hari Raya, malah untuk semua perayaan di Sarawak.
“Pada tahun ini, saya dan kedua-dua Timbalan Menteri saya sebelum ini bersetuju untuk memberi sedikit sumbangan perayaan kepada seluruh warga Kementerian.
“Sumbangan perayaan pada hari ini adalah sempena seluruh perayaan sepanjang tahun 2025 termasuk Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Hari Gawai Dayak dan sebagainya,” ujar beliau.
Hadir sama, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Telekomunikasi) Datuk Liwan Lagang, Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy Berhad dan PETROS) Dato Ibrahim Baki, Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Setiausaha Tetap MUTS Datu Jafri Lias.