Tidak ada kerja penyelenggaran besar jalan raya semasa musim perayaan – Dr Cassidy

KUCHING: Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak mengesahkan tidak ada kerja-kerja penyelenggaran besar dibenarkan terhadap lebuh raya dan jalan raya di negeri ini semasa perayaan Aidilfitri nanti.

Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, Dr Cassidy Morris sebaliknya berkata, kerja-kerja utama penyelenggaran itu dilakukan sebelum perayaan.

“Memang kita tidak boleh membuat aktiviti penyelenggaraan (besar) semasa perayaan, sebab itu kita buat sebelum (perayaan),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Berbuka Puasa Bersama Media Sarawak dan Rakan Strategik (Sosial Media) di Hotel Imperial, di sini, hari ini.

Cassidy berkata, ini atas faktor keselamatan dan pihaknya sudah mengarahkan kontraktor, pegawai jabatan terbabit serta pihak konsesi bagi memastikan perkara itu dipatuhi.

“Tiada kerja penyelenggaraan besar maksudnya kerja-kerja penyelenggaraan yang sangat berat, kalau sikit-sikit itu, mereka hendak tampal lubang itu tidak apa,” katanya.

Beliau berkata, ini kerana kerja penyelenggaraan kecil seperti menampal lubang tidak menyebabkan kesesakan teruk.