KUCHING: Kerajaan Sarawak pimpinan Premier Sarawak berusaha gigih dalam memastikan kesejahteraan rakyat Sarawak.
Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, Insentif Elaun Khas Penjawat Awam Sarawak antara RM400 hingga RM700 sebulan bermula Januari 2025 meningkatkan kebajikan penjawat awam negeri.
Katanya, Kerajaan Sarawak juga memperuntukkan RM450 juta melalui Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) kepada lebih 886,288 penerima dan hasilnya seramai 13,798 Ketua Isi Rumah (KIR) berjaya keluar daripada kategori miskin tegar.
“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak pimpinan Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg atas usaha gigih bagi memastikan kesejahteraan rakyat,” katanya dalam perutusan Aidilfitri di sini, hari ini.
Wan Junaidi berkata, kejayaan negeri meningkatkan pendapatan kepada RM14.2 bilion pada 2024, berbanding RM13.1 bilion (2023) membuktikan Sarawak berada di landasan yang kukuh untuk terus maju.
“Pelbagai projek pembangunan infrastruktur seperti jalan raya, jambatan, bekalan air bersih dan elektrik luar bandar telah menunjukkan pencapaian yang memberangsangkan,” katanya.
Menurut beliau, bekalan air bersih luar bandar Sarawak kini mencapai 85 peratus dan dijangka mencapai 100 peratus menjelang 2030.
“Bekalan elektrik luar bandar telah mencapai 98.6 peratus, memberi manfaat kepada penduduk luar bandar,” tambahnya.
