Program KCFM mampu bersihkan udara bandar raya

KUCHING: Program Kuching Car Free Morning (KCFM) edisi Hari Raya bukan sahaja menggalakkan aktiviti riadah dalam kalangan warga kota, malah menyumbang kepada usaha melestarikan alam sekitar.

Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek bagi Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, antaranya dengan mengurangkan pencemaran udara akibat penggunaan kenderaan bermotor.

“Inisiatif ini membuktikan komitmen kerajaan dalam memperkenalkan amalan mesra alam, khususnya di bandar raya Kuching.

“Walaupun dilaksanakan hanya dari jam 6 pagi hingga 10 pagi, program ini mampu membantu membersihkan udara daripada pelepasan karbon dioksida dan karbon monoksida.

“Ia memberi ruang kepada orang ramai untuk beriadah sambil mengurangkan pencemaran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan program tersebut di Padang Merdeka, di sini, hari ini.

Tambahnya, pendekatan ini turut menyokong agenda negeri untuk mencapai pelepasan karbon sifar pada masa hadapan.

Sementara itu, Datuk Bandar Kuching Utara, Hilmy Otman berkata, Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) sedang bekerjasama dengan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) untuk melaksanakan satu pelan induk dalam usaha merealisasikan pelepasan karbon sifar bagi negeri ini.

Katanya, projek itu diluluskan oleh kerajaan dan sekarang DBKU menunggu kajian daripada pihak UNIMAS untuk menjayakannya.

Beliau turut memuji sikap warga bandar raya ini yang sentiasa menjaga kebersihan bandaraya Kuching.

Katanya, sikap mereka dapat dilihat ketika bulan Ramadan lalu yang mana peniaga-peniaga sentiasa mengutamakan kebersihan.

“Hasil lawatan saya ke gerai-gerai semasa Ramadan baru-baru, saya mendapati mereka (peniaga) mematuhi peraturan niaga yang telah ditetapkan DBKU,” katanya.

Dengan langkah ini katanya, hasrat Sarawak untuk menarik kunjungan lima juta pelancong ke Sarawak akan tercapai.

GAMBAR:DBKU