KUCHING: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan menggesa supaya lebih banyak syarikat terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menyokong visi Sarawak.
Langkah itu penting katanya agar Sarawak muncul sebagai wilayah maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030.
Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan berkata, PKS tetap kekal sebagai tulang belakang ekonomi Sarawak.
Dengan sokongan dasar strategik, insentif dan program pembangunan kapasiti, kerajaan akan terus membantu PKS berkembang dalam ekonomi global yang sentiasa berubah, katanya sempena Majlis Pelancaran Anugerah Kecemerlangan Industri Premier Sarawak (PSIEA) di TEGAS Digital Village di sini hari ini.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh.
“Bersama-sama, kita mampu membina ekosistem perniagaan yang kukuh, bersedia untuk masa depan dan bersambung dengan ekonomi global demi manfaat seluruh rakyat Sarawak,” katanya.
Awang Tengah turut memuji usaha Persekutuan Perniagaan Sarawak (SBF) yang komited memupuk budaya kecemerlangan dalam kalangan komuniti perniagaan dan industri.
Usaha itu, katanya, seiring dengan aspirasi Kerajaan Sarawak untuk memperkasakan PKS) dan melonjakkannya ke tahap yang lebih tinggi.
Beliau turut menekankan keperluan untuk memperkukuh ketahanan dan mempercepat transformasi digital bagi menghadapi cabaran masa kini.
Mengenai PSIEA, beliau menegaskan, ia bukan sahaja platform pengiktirafan, tetapi juga pemacu kepada amalan kecemerlangan perniagaan yang menyeluruh – merangkumi kepimpinan, infrastruktur, pemerkasaan dan integrasi digital.
Katanya, PSIEA terus mengukuhkan kedudukannya sebagai pemangkin utama dalam meningkatkan daya saing industri tempatan ke arah kecemerlangan bertaraf antarabangsa.
Dengan pengiktirafan nasional seperti Anugerah Kecemerlangan Industri (AKI), PSIEA membuktikan standard tinggi yang ditetapkan mampu menjulang prestij penerima anugerah sambil memastikan industri tempatan selaras dengan penanda aras kebangsaan dan global, jelas Awang Tengah
Setakat 2025, sebanyak 94 organisasi dari sektor pembuatan dan perkhidmatan telah menyertai program ini, menjana nilai anggaran sebanyak RM188 juta kepada ekonomi wilayah dan negara,” ujarnya.
Hadir sama Presiden SBF, Dato Sri Abang Abdul Karim Tun Datuk Abang Openg; Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Dato Jefri Ahmad Tambi; Pengarah MPC Wilayah Sarawak, Dr Mazlina Shafii; Ketua Pegawai Eksekutif TEGAS Digital Village, Udin Bujang dan Presiden Persatuan SME Sarawak Jordan Ong.
