Jangan jual tanah untuk keuntungan singkat

ASAJAYA: Program Pengukuran Kampung Tradisional adalah usaha berterusan kerajaan untuk memastikan jaminan hak milik ke atas tanah penduduk kampung, kata Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Beliau yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Kedua berkata, kampung-kampung terbabit sama ada sudah lama wujud atau di kawasan yang telah diwartakan sebagai Rizab Komunal Bumiputera Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri (KTN) mahupun belum diwartakan.

Program ini adalah jaminan kerajaan dalam mengiktiraf pemilikan tanah dengan mengeluarkan surat hak milik tanah kepada masyarakat bumiputera yang menduduki kampung tradisional, katanya pada majlis penyerahan surat hak milik tanah di bawah Seksyen 18 KTN bagi Kampung Moyan Laut di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Pada majlis itu, Abdul Karim menyerahkan sebanyak 66 surat hak milik tanah kepada 57 penerima di Kampung Moyan Laut.

Menurut Awang Tengah, sebanyak 58,194 lot kediaman kampung di seluruh Sarawak disukat dan daripada jumlah itu, 52,915 lot telahpun dikeluarkan surat hak milik.

Beliau sehubungan itu menggesa penerima surat hak milik tanah supaya menggunakan sebaik-baiknya

“Jangan jual (tanah) semata-mata untuk keuntungan singkat. Bangunkan tanah kita dan ini akan menjadikan masa depan yang lebih baik untuk masyarakat kita,” katanya.