TYT meriahkan rumah terbuka Aidilfitri UNIMAS

KOTA SAMARAHAN: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, berkenan menyempurnakan Rumah Terbuka Aidilfitri Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) 2025 yang berlangsung meriah di Dewan Tunku Abdul Rahman Putra (DeTAR PUTRA), tengah hari tadi.

Majlis yang dihadiri lebih 2,000 tetamu itu menghimpunkan seluruh warga UNIMAS termasuk kakitangan, pelajar, ahli Lembaga Pengarah Universiti, serta tetamu kehormat dari Konsulat Indonesia, Brunei dan China.

Sebanyak 55 Pusat Tanggungjawab (PTj) UNIMAS bergabung membentuk 33 reruai bertemakan negara-negara Nusantara, lengkap dengan pelbagai juadah tradisional serta dekorasi kreatif yang mencerminkan budaya masing-masing.

Antara acara yang mencuri tumpuan adalah Pertandingan Teratak Terbaik yang menyaksikan penyertaan penuh warna-warni dan semangat kebersamaan daripada seluruh komuniti kampus.

Majlis itu merupakan sebahagian daripada inisiatif UNIMAS untuk memperkukuh hubungan silaturahim dalam kalangan warga universiti dan komuniti luar.

Selain itu, meraikan semangat perpaduan serta kepelbagaian budaya yang menjadi asas keharmonian negara.

Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengarah UNIMAS, Tan Sri Datuk Seri Panglima Sulong Matjeraie; Naib Canselor UNIMAS, Prof. Dr. Ahmad Hata Rasit; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Ir. Ts. Dr. Al-Khalid Othman; Profesor Fakulti Sains dan Teknologi Sumber, Prof. Dr. Ramlah Zainudin; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Ir. Dr. Siti Noor Linda Taib; serta Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Fitri Suraya Mohamad Hapni Joblie.