Sarawak catat prestasi kukuh – Premier

KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berharap Sarawak mencatat prestasi yang kukuh untuk tiga suku tahun 2025 demi meneruskan agenda pembangunan luar bandar.

Beliau berkata, untuk suku pertama tahun 2025, Sarawak mencatat prestasi yang kukuh dan memberangsangkan termasuk dari segi kedudukan kewangan.

“Untuk suku pertama 2025, prestasi Sarawak termasuk kedudukan kewangan ‘not that bad’.

“Kita harap untuk tiga suku yang akan datang, prestasinya akan konsisten untuk memberi kelebihan kepada Sarawak membangunkan kawasan hanya di luar bandar,” katanya berucap pada majlis sambutan Gawai Dayak JPS di kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.

Beliau menegaskan, kestabilan kewangan itu akan memberi kelebihan kepada kerajaan negeri melaksanakan agenda pembangunan, khususnya di kawasan luar bandar yang memerlukan perhatian berterusan.

Dari sudut prasarana, Sarawak, tambahnya, telah berjaya menyiapkan beberapa jambatan yang bakal merangsang ekonomi luar bandar.

Katanya, Timbalan Premier Sarawak yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas sangat sibuk pada tahun ini ‘menuai’ jambatan-jambatan yang telah siap dilaksanakan.

“Ini akan membuka satu lembaran baharu dalam pembangunan ekonomi kita yang inklusif termasuk perbangunan di luar bandar,” katanya.

Hadir sama, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, dan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak Dato Sri John Sikie Tayai.