Cadangan bina jalan alternatif RGC Semop

SEMOP: Jalan alternatif sedang dirancang untuk menghubungkan kawasan Sungai Kelai, Kampung Sedi dan Sebako di sini tanpa melalui Pusat Pertumbuhan Desa (RGC) Semop.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop, Datuk Abdullah Saidol, berkata projek itu penting
berikutan sebanyak 300 rumah di RGC Semop akan mula diduduki pada tahun depan.

Beliau yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) berkata, ia dijangka menyebabkan pertambahan kenderaan dan kesesakan di jalan-jalan utama termasuk kawasan Sungai Kelai, Kampung Sedi dan Sebako.

“Beberapa projek lain turut dirancang antaranya dewan masyarakat berharga RM8.6 juta, pasar tani, medan selera (RM6.5) juta, balai polis dan pembukaan klinik kesihatan baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Rumah Terbuka Gawai Dayak 2025 DUN Semop di Dewan Masyarakat Sungai Kelai dan Rumah Wun, Berkakong hari ini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Tanjung Manis, Ir Yusuf Abdul Wahab.

Beliau menjelaskan, pembangunan prasarana asas seperti jalan raya, bekalan air, elektrik dan telekomunikasi di luar bandar khususnya di DUN Semop dan Parlimen Tanjong Manis adalah yang perlu dipenuhi demi kesejahteraan rakyat.

Akui proses pembangunan akan mengambil masa, namun pelaksanaannya tetap akan diteruskan secara berfasa dengan kerjasama erat antara pemimpin dan rakyat di peringkat akar umbi, katanya.

“Sebagai wakil rakyat, kita perlu adil dalam pembahagian peruntukan tanpa mengira bangsa, agama atau kawasan. Apa yang penting usaha berterusan,” katanya.