Sarawak berhasrat tingkatkan bekalan tenaga menjelang 2030

KUCHING: Sarawak mempunyai potensi cerah untuk menyumbang tenaga hidroelektrik di rantau ini, kerana mempunyai sumber semula jadi kukuh, kata Premier Sarawak.

Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, malah Sarawak juga bersedia berkongsi lebihan bekalan elektrik khususnya tenaga boleh diperbaharui bersama negara-negara jiran di rantau ini.

Ketika ini katanya, Sarawak sedang membina loji turbin gas berkapasiti 1.5 gigawatt (GW) iaitu 1,000 megawatt (MW) di Bintulu manakala 500MW (Miri).

“Oleh itu, Kerajaan Sarawak berhasrat meningkatkan bekalan tenaga kepada 10 GW menjelang 2030 dengan sekurang-kurangnya 3GW ditambah untuk empat tahun akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis makan malam sempena Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan Tenaga ASEAN (SOME) Ke-43 di sini, malam tadi.

Abang Johari menjelaskan, sebuah lagi loji hidro sedang dibina di Baleh, Kapit yang akan menjana bekalan tenaga sehingga 1.2GW.

“Dengan projek ini, dalam tempoh empat tahun akan datang, kita akan dapat menambah 3GW lagi kepada kapasiti terpasang sedia ada iaitu 7GW,” katanya.

Oleh itu katanya dengan kapasiti ini, Sarawak bersedia memainkan peranannya sebagai Bateri ASEAN kepada negara serantau.