KOTA SAMARAHAN: Usaha menyebarluaskan inisiatif kebajikan mahasiswa mendatangkan hasil apabila Skim Bantuan Sewa Kediaman Sarawak (SRAS) menunjukkan peningkatan permohonan memberangsangkan.
Menurut Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Datuk Fazzrudin Abdul Rahman, lonjakan permohonan tersebut mula direkodkan selepas sesi taklimat inisiatif pendidikan diadakan di beberapa kampus termasuk UiTM dan UNIMAS.
“Selepas sesi penerangan diadakan di UiTM, HDC maklumkan bahawa mereka menerima lonjakan permohonan untuk SRAS.
“Ramai pelajar yang akhirnya sedar bahawa mereka layak untuk memohon bantuan RM200 sebulan ini yang bertujuan mengurangkan beban kewangan, terutama dalam kalangan golongan B40,” katanya kepada ketika ditemui di Dewan Tunku Abdul Rahman Putra (DeTAR), UNIMAS di sini, hari ini.
Beliau menjelaskan, walaupun SRAS bukan inisiatif baharu, namun kurangnya pendedahan menyebabkan sebahagian besar pelajar tidak mengetahui tentang peluang ini.
“Peranan kita untuk memastikan setiap bantuan dan insentif yang disediakan sampai terus ke tangan mereka yang memerlukan.
“Kami percaya ramai lagi pelajar layak, tetapi tidak tahu ia wujud. Sebab itu, sesi jangkauan seperti ini amat penting,” ujarnya.
