DARO: Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Haji Zawawi mengiringi Setiausaha Persekutuan Sarawak, Dato Ahmad Nadzri Mohd. Hassan dalam lawatan pemantauan ke tapak projek pembangunan semula Sekolah Kebangsaan Kampung (SK) Tebaang di sini hari ini.
Projek tersebut merupakan sebahagian daripada cadangan pembangunan semula sekolah daif di negeri ini di bawah peruntukan RM1 bilion (Fasa 2), Pakej 5A, yang dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Projek pembangunan semula SK Tebaang melibatkan kos sebanyak RM14,000,777.00 dan kini mencapai 94 peratus siap. Ia dijangka siap sepenuhnya dalam masa terdekat.
Usaha menaik taraf SK Tebaang mula disuarakan oleh Ahmad Johnie sejak 6 Ogos 2020, apabila beliau mengetengahkan keadaan sekolah tersebut di Dewan Rakyat.
Hasil keprihatinan dan desakan berterusan, KPM secara rasmi meluluskan projek pembinaan sekolah itu pada 28 September 2021, sebagai tanda sokongan rasmi terhadap keperluan pembinaan semula SK Kampung Tebaang, SK Kampung Pergau dan SK Bawang Tian.
“Saya menghargai sokongan padu daripada KPM kerana tiga buka sekolah daif di kawasan Parlimen Igan diberi perhatian sewajarnya dan hari ini, kita menyaksikan hampir siapnya SK Tebaang sebagai bukti usaha bersama antara pemimpin tempatan dan Kerajaan Persekutuan,” kata Ahmad Johnie.
Lawatan itu membolehkan pihak berkaitan menilai sendiri status terkini projek terbabit dan memastikan pelaksanaannya menepati jadual dan kualiti yang ditetapkan.
Turut serta dalam lawatan itu ialah Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak, Jasni Jubli, Residan Bahagian Mukah, Datu Kueh Lei Poh dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad.
